sjkkchien-wh.zoom-a.com
| LAMAN UTAMA | MAKLUMAT ASAS | PROFIL SEKOLAH | SEJARAH SEKOLAH | PSS | KURIKULUM | HEM | KOKURIKULUM | PENCAPAIAN | ANUGERAH | GALERI |

SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Kwang Chien, salah sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina yang terbesar di Bahagian Sarikei. Sekolah ini terletak di Jalan Kubu Sarikei.

Sekolah Rendah Aliran Cina Sarikei (SRB Kwang Chien) telah ditubuhkan dengan rasminya pada awal tahun 1927. Penubuhannya adalah hasil usaha daripada beberapa orang peniaga yang terkenal di Daerah Sarikei. Dengan penubuhan awal sekolah atas masalah kewangan, maka pihak sekolah terpaksa meminjamkan rumah papan daripada Persatuan Kong Wai Siew Sarikei untuk dijadikan bilik darjah. Bilangan murid pada masa itu ialah lebih kurang 40 orang.
Pada tahun 1927, alamat sekolah terpaksa dipindahkan ke sebuah bangunan yang terletak di belakang Dewan Huai Ren, Sarikei. Ini adalah akibat daripada pendapat-pendapat yang tidak sebulat suara di kalangan ahli-ahli Lembaga Pengurusan sekolah. Pada tahun inilah, nama sekolah ditukarkan kepada Sekolah Rendah Bantuan Kwang Chien Sarikei. Encik Ting Mang dan Encik Chai King Sii masing-masing telah dipilih sebagai Pengerusi dan Naib Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah. Manakala Encik Tiong Lok Ting telah ditawarkan sebagai Guru Besar yang pertama.
Dari setahun ke setahun, murid-murid kian bertambah mengakibatkan bilik darjah sekolah tidak mencukupi. Pada tahun 1929, Encik Siaw Nam Kung telah dipilih sebagai wakil untuk memohon alamat sekolah yang tetap daripada pihak Jabatan Pendidikan. Dengan kerjasama daripada ahli-ahli Lembaga Pengurusan Sekolah dan bantuan kewangan yang diperoleh dari kutipan komisen penjualan lada hitam (seringgit setan), sebuah bangunan sekolah yang berharga dua belas ribu ringgit telah siap dibina untuk menampung bilangan murid yang semakin bertambah pada tahun 1930.
Pada tahun 1944, Sekolah Rendah Bantuan Kwang Chien terpaksa ditutup kerana  Zaman Pendudukan Jepun. Sekolah dibuka semula setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1946. Encik Siaw Nam Kung telah dipilih sebagai Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah, manakala Encik Yeu King Sui pula dilantik sebagai Guru Besar sekolah.
Pada akhir tahun 1951,murid-murid sekolah telah bertambah kepada bilangan lebih kurang dua ratus orang. Sebuah bangunan konkrit telah siap dibina pada tahun 1952 dengan bantuan kewangan daripada orang awam dan penduduk-penduduk tempatan. Kemudahan-kemudahan seperti tempat penginapan guru, tandas murid, dan tangki air juga disediakan.
Pada tahun 1980, Encik Yii Ming Kai telah dilantik oleh Kementerian Pendidikan sebagai Guru Besar sekolah. Beliau telah memohon daripada pihak jabatan bagi menambahkan bilangan kelas Tahun Satu kepada dua buah kelas. Permohonan itu telah mendapat kelulusan daripada pihak jabatan. Sebuah bangunan sekolah terpaksa dibina lagi bagi menampung bilangan murid sekolah yang semakin ramai. Sekolah Rendah Bantuan Kwang Chien dapat berkembang dengan pesatnya di bawah pimpinan Encik Yii Ming Kai.
Pada tahun 1988, bilangan guru telah bertambah kepada 17 orang dengan bilangan murid seramai 357 orang. Bilangan kelas pengajaran dan pembelajaran pula ialah sebanyak 9 buah. Dengan bantuan kewangan daripada pihak Jabatan Pendidikan dan Yang Berhormat Datuk David Teng Lung Chi serta golongan peniaga tempatan, sebuah bangunan sekolah yang berharga tujuh puluh ribu ringgit telah siap dibina bagi menyelesaikan masalah kekurangan bilik darjah.
Pada tahun 1991, sebuah bangunan yang mempunyai tiga buah bilik darjah telah siap dibina bagi menampung bilangan murid yang seramai 494 orang. Pada tahun itu juga, bilangan guru sekolah telah bertambah kepada 22 orang dan bilangan kelas sebanyak 12 buah. Perbelanjaan keseluruhan untuk membina bangunan itu ialah sebanyak dua puluh tiga ribu ringgit.
Pada tahun 1993, sebuah bangunan tiga tingkat telah siap dibina dengan bantuan kewangan sebanyak lima puluh peratus (Dua ratus tiga puluh dua ribu ringgit) daripada Kementerian Pendidikan. Yang Berhormat Datuk Abang Abu Bakar bin Abang Haji Mustapha, Yang Berhormat Datuk Law Hieng Ding, dan Yang Berhormat Datuk David Teng Lung Chi bersama-sama menghulurkan bantuan kewangan sebanyak enam puluh lima ribu ringgit untuk membina bangunan tersebut.
Pada 16.12.1997, SRB Kwang Chien, Sarikei telah dinaikkan taraf ke Gred A oleh Kementerian Pendidikan. Encik Wong Hing telah dilantik sebagai Guru Besar yang baru mulai 16.12.1997. Beliau telah melaporkan diri pada 23.12.1997.
Ketika sekolah dipimpin oleh Encik Wong Hing, beliau telah berusaha dengan bekerjasama dengan Lembaga Pengurus Sekolah untuk memohon bantuan kewangan dari Jabatan Pendidikan Bahagian Sarikei untuk mendindingkan ruangan kosong di tingkat bawah bangunan 3 tingkat.
Pada 23.02.2000, ahli Lembaga Pengurus Sekolah bagi tempoh 2000 ~ 2002 telah ditubuhkan. Ia diketuai oleh Encik Tan Pok Onn selaku pengerusi, Encik Yii Ming Kai sebagai Setiausaha Agung, Encik Lau @ Law Ngi Tung sebagai Bendahari Kehormat dan 12 orang ahli pengurus.
Pada awal tahun persekolahan 2001, Radio dan TV Pendidikan dipindahkan ke bilik Guru lama. Astro dipasang dan ditonton oleh murid-murid. Pelajaran Muzik dijalankan di situ. Minggu Orientasi yang bermula 03.01.2001 hingga 16.01.2001 berjalan lancar di tempat yang sama. Bilik Guru lama ini telah ditukar menjadi bilik Alat Pandang Dengar (APD).
 Taman Sains yang diwujudkan sejak tahun 2000 diteruskan dengan penanaman bunga orkid, kaktus, hebal, bunga hortikultur, dan akuarium ikan.
Pada pertengahan tahun 2001, pihak sekolah telah mendapat peruntukan sebanyak RM9,000.00 dalam bentuk material untuk membaikpulih tandas murid. Kini, kedua-dua tandas murid mencapai tahap kebersihan yang memuaskan. Pada akhir tahun 2001, pihak sekolah diberi peruntukan sebanyak RM10,000.00 dalam bentuk material untuk memagari kawasan sekolah.
SJK(C) Kwang Chien, Sarikei telah mengorak langkah sebagai sebuah sekolah perintis di Bahagian Sarikei yang membuka kelas komputernya dengan bantuan dari Edutech Computer Sdn. Bhd., Kuching. Perjanjian di antara Edutech Computer Sdn. Bhd., Kuching dengan wakil ahli Lembaga Pengurus Sekolah, Dr. Yap Ah Ming dan Encik Federick Wong Kuok Kwong telah dimeteri pada 18.09.2001 dan kelas komputer dibuka dengan rasminya pada 19.09.2001.
Pada akhir tahun 2002, Edutech Computer Sdn. Bhd., Kuching telah membekalkan sebuah komputer bagi kegunaan perpustakaan. Sekolah ini sedang menuju ke arah sekolah bestari dengan menggunakan ‘Smart School Library’ dan ‘Smart School Management’. Adalah diharapkan, pada pertengahan tahun 2002, sekolah ini  menggunakan sistem peminjaman buku dan pentadbiran secara berkomputer.
Pihak sekolah telah diberi peruntukan sebanyak RM90,000.00 oleh kerajaan pusat untuk membina sebuah stadium bola keranjang. Kerja pembinaan bermula dalam bulan Disember 2001 dan siap pada awal Januari, 2002. Akan tetapi, stadium bola keranjang tersebut tidak didirikan dengan pentas dan tidak dilengkapi dengan perparitan yang baik serta tidak dipasang dengan api. Walau bagaimanapun, aktiviti permainan, PJ dan perhimpunan diadakan di stadium tersebut.
Pihak sekolah telah memenangi johan bagi “Promosi Persekitaran Sihat, 2002” anjuran Jabatan Kesihatan dengan hadiah RM5,000.00 dan piala pada 09.03.2002 di Dewan Suarah Sarikei oleh YB William Mawan.
Pusat Sumber Sekolah (PSS) telah dicalonkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak ke Pertandingan PSS Cemerlang di peringkat kebangsaan tahun 2002. PSS Kwang Chien telah dinobatkan sebagai Pusat Sumber Sekolah Cemerlang, peringkat kebangsaan 2002.
Kwang Chien telah mengubah wajahnya dengan memasang penghawa dingin di bilik Guru Besar, bilik Penolong Kanan dan bilik Guru pada 04.06.2002 dengan kos RM8,500.00. Jendela-jendela di bilik-bilik tersebut termasuk bilik PSS telah dipasang dengan jendela “tinted glass” yang bernilai RM3,000.00 pada 31.05.2002.
Jabatan Pendidikan Bahagian Sarikei telah memberi peruntukan RM3,500.00 untuk menaiktaraf Taman Sains dan sebuah kolam pancutan. Di samping itu, blok Tahun 1 dan 2 telah dibuat pendawaian semula dengan peruntukan RM4,156.60 dari Jabatan Pendidikan Bahagian Sarikei.
Sekolah ini menempa sejarah dengan memperkenalkan ‘Smart School Library Dan Management’ yang dibekalkan oleh Edutech Computer Sdn. Bhd. Ia telah mula beroperasi dengan sepenuh-penuhnya mulai 05.06.2002. Semua murid dan staf  yang ingin meminjam dan memulangkan buku-buku perpustakaan dijalankan dengan sistem berkomputer.
Pusat Sumber Sekolah mengubah wajah dalam bentuk prasarana pada cuti akhir tahun 2002. Lantainya diturap dengan jubin. Bilik dipasang dengan 2 unit hawa pendingin. Rak perpustakaan diganti dengan kemudahan yang termoden. Sudut-sudut PAK ( pembelajaran akses kendiri ) dan sudut-sudut bacaan ditingkatkan. Hiasan dalaman diperbaharui untuk melahirkan suasana yang kondusif bagi pengajaran dan pembelajaran khususnya dan aktiviti membaca amnya.
Pada tahun 2003, sekolah telah dicalonkan oleh Jabatan Pendidikan Bahagian Sarikei untuk Anugerah Sekolah Harapan (kategori luar bandar), peringkat Negeri Sarawak 2003. Sekolah telah berjaya mendapat anugerah tersebut. Anugerah tesebut telah diterima pada sambutan Hari Guru, peringkat negeri yang diadakan pada 24.05.2003 di Dewan Suarah Sibu. Ia dilakukan oleh YB Datuk Seri Haji Adenan Satem.

Pada tahun 2004, sekolah ini telah dicalonkan untuk Anugerah Sekolah Harapan Negara, peringkat kebangsaan. Sekolah ini telah dicalonkan untuk pertandingan 3K, ( kebersihan dan kesihatan ) peringkat kebangsaan pada tahun 2004. Penyampaian anugerah 3K ( kebersihan dan kesihatan ), peringkat kebangsaan telah dilangsungkan di SMK St. Thomas pada 30.09.2004. Sekolah ini memenangi sagu hati dalam anugerah tersebut. Sekolah ini telah berjaya merangkul pencapaian Emas bagi Program Bersepadu Sekolah Sihat (PBSS), peringkat negeri Sarawak pada tahun 2003. Penganugerahan telah diadakan di Limbang.

Pusat Sumber Sekolah (PSS) telah dinaiktaraf dengan membuat siling gantung dan dipasang dengan lampu ‘down-light’ pada bulan Ogos 2005.

Laluan masuk ke depan sekolah telah diturap semula pada bulan Disember 2005. Kos pembaikan yang bernilai RM5,500.00 telah dibiayai oleh Encik William Liang.

Pihak sekolah telah berusaha untuk membekalkan setiap orang guru dengan sebuah komputer menjelang sesi persekolahan 2006. Kelas komputer baru berjaya dijalankan dengan prasarana yang terkini mulai sesi persekolahan 2006. Perjanjian di antara Syarikat Dynabook Computer Sdn. Bhd. dengan Lembaga Pengurus Sekolah telah dimeteri selama 4 tahun.

Blok lama yang dijadikan stor telah dirobohkan pada penghujung tahun 2005. Ia digantikan dengan satu blok bangunan 2 tingkat yang terdiri daripada 4 buah bilik. Pembinaan blok tersebut telah siap digunakan pada bulan Februari 2006. Kini bangunan ini menampung 3 buah bilik darjah, iaitu Tahun 3 Hijau, Tahun 3 Biru, Tahun 3 Kuning dan Bilik BOSS (SPBT) yang berhawa dingin. Bangunan ini menelan belanja RM121,864.00.

Bilik BOSS Kwang Chien telah memenangi Johan di peringkat negeri Sarawak pada tahun 2007 dan layak ke pertandingan BOSS di peringkat kebangsaan. Pada 2008, sekolah ini sekali lagi mewakili negeri Sarawak dalam pertandingan bilik BOSS di peringkat kebangsaan.

Pada bulai Mei 2007, sekolah ini dihakimi oleh 3 orang penilai dari Kementerian Pelajaran Malaysia untuk Anugerah Sekolah Cemerlang, peringkat kebangsaan. Sekolah menerima berita baik bahawa sekolah telah memenangi anugerah tersebut. Majlis Anugerah Sekolah Cemerlang telah berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 23.11.2007. Ia disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia. Rombongan ke majlis anugerah terdiri daripada Encik Wong Hing, Guru Besar, Puan Ho Suok Ting, Puan Lam Mei Lai, Puan Wong Leh Yeng, Puan Suhana bte. Abdul Rahman (PT) dan adik Teng How Ann (Ketua Murid).

Di bawah Anugerah Sekolah Cemerlang, sekolah ini telah diberi peruntukan khas seperti yang berikut :

(a) Lawatan Guru Besar            : RM20,000.00

(b) Lawatan Guru                     : RM18,000.00

(c) Lawatan Murid                    : RM100,000.00

(d) Bekalan                              : RM46,500.00

(e) Harta Modal                       : RM38,800.00

(f) Penyelenggaran bangunan     : RM108,500.00

(g) Imbuhan setiap staf  : RM500.00

Pada 28 November hingga 5 Disember 2007, Encik Wong Hing telah mengikuti rombongan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk melakukan lawatan kerja ke New Zealand sebagai imbuhan Anugerah Sekolah Cemerlang. Pada 17.12.2007 hingga 21.12.2007, sekolah ini mencatat sejarah membawa 40 orang murid di bawah 6 orang staf (termasuk 2 orang AKS) melancong ke Semenanjung Malaysia.

Penyelenggaraan bangunan di bawah peruntukan Anugerah Sekolah Cemerlang telah berjalan dengan lancar. Projek-projek yang terlibat ialah menaiktaraf dengan mensimen permukaan gelanggang bola keranjang dan sekitarnya, menukar pintu besi masuk (depan dan belakang) ke pintu keluli, menukar tempat letak kereta staf (depan), menaiktaraf tandas guru dan murid dengan menjubin lantai dan dinding, menukar mangkuk kencing yang dipasang pada dinding tandas lelaki serta membuat siling dan dipasang dengan ‘down-tube’. Adalah diharapkan sekolah ini akan menjadi lebih menyerlah lanjutan menang Anugerah Sekolah Cemerlang.

Pada 24 hingga 27 Mei 2008, satu rombongan terdiri daripada 3 orang guru dan 17 orang murid telah melancong ke Semenanjung Malaysia selama 4 hari di sekitar bandar raya Kuala Lumpur. Lawatan ini diadakan dengan baki peruntukan lawatan murid dalam negeri di bawah Anugerah Sekolah Cemerlang.

Pada 3 November 2008, sekolah telah diwakili oleh Guru Besar, Penolong Kanan HEM, Puan Lam Mei Lai, Guru SPBT, Puan Ngu See Hoon, dan 4 orang murid dari Kelab SPBT untuk menghadiri Majlis Anugerah Pengurusan BOSS Cemerlang, peringkat kebangsaan di Selangor. Sekolah ini telah memenangi tempat ke-3.

Pada 28.02.2009, sekolah telah memenangi Anugerah Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI) Sarawak bagi sesi 2007/2008 dalam kategori Pengurusan Alam Sekitar yang terbaik. Hadiah yang diterima termasuklah trophi, sijil dan wang tunai RM1,000.00. Pada tahun 2009, sekolah ini telah dicalonkan untuk Anugerah Pusat Sumber Sekolah Cemerlang, peringkat negeri.

SENARAI GURU BESAR

Bil.

Nama Guru Besar

Tempoh Perkhidmatan

1.

Encik Tiong Lok Ting

1926 - 1929

2.

Encik Hii Chung Ting

1930

3.

Encik Lee Siew Tieng

1931 - 1933

4.

Encik Boo Yew Wu

1936

5.

Encik Yeo Wei Rang

1937

6.

Encik Ting King Sing

1938 - 1942

7.

Encik Yeu King Sui

1946

8.

Encik Yeu King Min

1947

9.

Encik Ting King Sing

1948 - 1952

10.

Encik Tiong Chung Chin

1953

11.

Encik Yii Chu Leong (Memangku)

1953 - 1956

12.

Encik Tiong Chung Chin

1956

13.

Encik Wong Siew Tuang

1957 - 1979

14.

Encik Lau Kung Thai (Memangku)

1979 - 1980

15.

Encik Yii Ming Kai

1980 - 1996

16.

Puan Wong Mee Lang (Memangku)

1997

17.

  Encik Wong Hing

23.12.1997 -

BANGUNAN PADA TAHUN 1927

BANGUNAN PADA TAHUN 1954

BANGUNAN PADA TAHUN 1954

BANGUNAN PADA TAHUN 1988

BANGUNAN PADA TAHUN 1988

BANGUNAN PADA TAHUN 1991

BANGUNAN PADA TAHUN 1993

BANGUNAN PADA TAHUN 1990

BANGUNAN PADA TAHUN 2006


Zoom A - Program Pembelajaran Secara Interaktif Melalui Internet Yang Tercanggih Di Malaysia

Pelawat: